Kertas Kerja Haji

RAHSIA KEROHANIAN DI SEBALIK IBADAT HAJI
oleh: YBhg Dr Syeikh Muhammad Uthman El-Muhammady

Tujuan kertas kerja ini ialah untuk membentangkan - insya'allah - bukanlah perincian mengenai gambaran hukum hakam ibadat haji, tetapi rahsia-rahsia kerohanian di sebalik ibadat yang sedemikian menyeluruhnya itu. Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima, yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang berkemampuan menjalankannya, sekali dalam hidupnya. Berbahagialah mereka yang menunaikan haji dan diterima ibadatnya oleh Tuhan sebagai haji yang mabrur yang ganjarannya tidak lain melainkan kebahagiaan yang kekal abadi dalam syurga yang dijanjikanNya. Amin.

Yang dimaksudkan `rahsia-rahsia kerohanian' dalam perbincangan kertas ini ialah perkara-perkara yang terselindung di sebalik amalan ibadat haji yang membantu dalam menyempurnakan hidup manusia, menyuburkan kesempurnaan hidup rohaninya dari dunia sampai ke akhirat. Ini perkara yang amat penting sekali sebab manusia ialah makhluk kerohanian.

Segi rohaninyalah yang menjadi paksi atau inti dirinya yang sebenarnya. Itulah yang menentukan segala-galanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Nabi sallah'llahu'alaihi wa sallam bila bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh dirinya (lit.jasadnya), bila ia rosak rosaklah seluruh dirinya, iaitu kalbunya." (Hadith sahih Bukhari)

Kalbu dalam erti rohaninya sebagaimana yang dihuraikan oleh ulama Ahli sunnah mengenai hadith ini dan yang sepertinya.

Tentang fadhilat ibadat haji itu sendiri ini jelas daripada keadaan dan kedudukannya yang merupakan sebagai satu daripada rukun-rukun Islam yang lima, antaranya sebagaimana yang jelas dalam hadith Jibril yang terkenal itu yang menyebutkan bagaimana rukun-rukun Islam itu lima perkara: penyaksian tauhid dan kerasulan nabi Muhammad salla'llahu 'alaihi wa sallam, pelaksanaan sembahyang, puasa Ramadhan, zakat, dan akhirnya menunaikan haji bagi yang berkemampuan ke Kaabah di Makkatul-Mukarramah sekali dalam hidupnya.

Ia merupakan kecantikan dan kesempurnaan hidup ubudiah seseorang dalam seluruh hayatnya, yang haji merupakan kemuncak baginya. Kemuliaannnya boleh difahami daripada isyarat bahawa ayat yang berikut yang bermaksud: "Pada hari ini Aku (Allah) sempurnakan untuk kamu agama kamu dan Aku lengkapkan untuk kamu nikmatKu dan Aku redha Islam sebagai agama kamu." (Al-Maidah:3)

Dan nabi s.a.w menyatakan pendiriannya tentang pentingnya ibadat haji dengan kenyataannya (bermaksud): "Sesiapa yang tidak menunaikan haji maka matilah ia kalau ia mahu sebagai Yahudi atau Kristian."

Allah subhanahu wa Ta'ala memerintahkan pelaksanaan ibadat ini dalam ayatnya yang mulia yang bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh". (Surah al-Haj: 27)

Rasulullah sallah'llahu 'alaihi wa sallam pula bersabda tentangnya yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan ibadat haji sedangkan ia tidak bercakap kotor atau melakukan perbuatan lucah atau melakukan kerja pasiq, maka ia keluar daripada dosanya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya". (Bukhari Muslim, dari Abu Hurairah dalam tajuk berkenaan haji)

Maka selepas al-Qur'an dan hadith serta ijma' mujtahidin dalam umat ini tentang wajibnya ibadat haji itu sebagai wajib fardhu ain; ia dimaafkan jika tidak melakukannya oleh mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk melakukannya, sebagaimana yang diperincikan dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar, misalnya dalam kitab-kitab mazhab empat; kalau kita di Dunia Melayu, sebagaimana yang dihuraikan dalam kitab-kitab mazhab Syafie radiya'Llahu 'anhu.


Yang akan ditumpukan dalam nota ringkas dan sederhana ini ialah beberapa rahsia kerohanian yang ada di sebalik ibadat haji yang sedemikian agung dan mulia itu.


Kita kembali kepada perbincangan berkenaan dengan rukun dalam amalan haji itu sendiri; kita boleh bermula dengan niatnya; bila ia niat hendaklah melakukan haji ia meniatkan dengan kalbunya yakni dirinya yang rohani itu (kata ulama dirinya yang rohani itu ialah kalbunya itu, itulah yang bertanggungjawab dengan Allah, anggota-anggota lain ialah rakyatnya itu). Maka rohaninya itu berniat "Sahaja aku menunaikan haji dan berihram dengannya kerana Allah" dan memakai ihramnya yang melambangkan ia berada dalam keadaan berihram yang khusus untuk berada di Sisi Hadhrat Tuhannya.


Ia niat itu menunjukkan dengan sengaja ia melakukan ibadat itu serentak dengan niatnya itu; bukan lalai atau melakukan ibadat itu dengan tidak sengaja tetapi dengan sengaja dan penuh kesedaran dan bertanggungjawab. Dan memang itulah yang dituntut oleh Syara' sebagaimana yang disuruh dalam hadith yang memberi erti "Sesungguhnya amalan itu (seperti ibadat haji dan sembahyang dan yang sepertinya hendaklah serta) dengan niat", bukan sebelumnya atau selepas daripadanya. Dengan itu ibadatnya mencapai matlamatnya dan diterima oleh Allah s.w.t.


Antara para imam yang sedemikian elok huraiannya tentang rahsia-rahsia ibadat haji itu, kita boleh ingatkan panduan-panduan dan isyarat-isyarat yang diberikan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali radiya'Llahu 'anhu dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulum al-Din' dalam kitab berbicara berkenaan dengan ibadat haji pada juzuk pertama kitab itu.

Antara pengamatan-pengamatan imam utama itu ialah: Katanya (yang bermaksud)


"Boleh dikatakan bahawa setiap amalan haji itu (selain daripada kita menunaikan rukun-rukun dan syarat-syarat serta perkara-perkara wajib dan sunatnya) ialah ada peringatan bagi orang yang ingin mengambil peringatan daripadanya, juga contoh tauladan pengajaran bagi orang yang ingin mengambil ikhtibar pengajaran daripadanya. Apabila terbuka sahaja pintunya akan tersingkaplah segala rahsia, dan muncullah perkara-perkara yang diperlukan untuk menyucikan hati di samping memperkuatkan fikiran"


Katanya: "Allah memuliakan 'al-bait al-'Atiq' atau rumah yang sediakala itu (Ka'abah) selain daripada kedudukan Zat KetuhananNya Yang Agung itu, (disebutnya 'Baitullah') dan menentukan Rumah Yang Suci itu sebagai tempat tujuan bagi sekalian para hambaNya, kemudian dijadikan tanah kawasan sekelilingnya sebagai 'Tanah Haram' yang suci bagi RumahNya, demi untuk menandakan kebesaran, dan kesucian tempat itu (di planet bumi ini yang terpilih sekali berbanding dengan sedemikian banyak tempat-tempat  lain lagi). Ini dikuatkan lagi dengan mengharamkan binatang-binatang buruan dari diburu dan (mengharamkan) pokok-pokoknya daripada dipotong, (seolah-olah) dijadikan Rumah itu sebagai Balai Penghadapan Seumpama Raja-raja yang dikunjungi oleh para penziarah dari semua teluk rantau yang jauh, dari arah yang jauh terpencil, mereka datang dalam keadaan kusut masai, tidak teratur, merendah diri kepada Tuan empunya Rumah Suci, semata-mata kerana merendahkan diri itu terhadap keagunganNya; itu serta dengan pengakuan menjauhkan ZatNya daripada dikelilingi oleh sebuah rumah atau dilingkari oleh sesebuah negeri (sebab Tuhan Tidak Bertempat, tidak berpihak), supaya yang demikian tunduk menyerah kepadaNya, iaitu menjadi lebih tepat dalam perhambaan dan ubudiah mereka terhadap Allah Ta'ala yang menjadikan mereka. Itu akan menjadikan mereka lebih sempurna dalam ketaatan dan menyerah diri kepadaNya.


Dalam memberi pengertian tentang rahsia-rahsia ibadat haji ini, dalam al-OIaI karangan Imam al-Nawawi rh di bawah 'asrE'r al-Hajj wa dhikrayyE'tih' dinyatakan dengan jelas sekali bahawa: "Dalam tiap-tiap amalan zahir dari amalan-amalan zahir (manasik) haji dan pada tiap-tiap ruangnya terzahir di dalamnya ubudiah terhadap Allah dan muncul nyata kesannya secara terang benderang yang dapat diperhatikan. Maka dalam menunaikan syiar-syiar dan melaksanakan amalan-amalan taat, mulai daripada membuang pakaian (untuk menggantikannya dengan pakaian ihram), dan tidak menutup kepala, dalam tawaf di sekeliling Kaabah dan istilam dengan rukun-rukunya, juga berwuquf di Arafah, Muzdalifah dan Mina, dalam keadaaan diri hina, rendah, tadharruk dan khusyuk, juga dalam melontar jamrah, penyembelihan haiwan (kerana membayar dam) atau kerana korban dan perkara-perkara lainnya - dalam semua yang demikian itu ada tanda zahir ubudiyyah si hamba kepada Tuhan sekalian hamba (makhlukNya) dan pencipta mereka, dengan menunggalkan Dia sahaja sebagai tumpuan ibadat, tanya yang selain daripadaNya; ubudiyyah yang demikian itu adalah rahsia sebab bagi wujud (sekalian alam semesta) dan matlamatnya yang paling tinggi sekali".


Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya ia beribadat kepadaku. Aku tidak berkehendak dari mereka sebarang rezeki dan Aku tidak berkehendak ia memberi aku makan. Sesungguhnya Allah Maha pemberi Rezeki Yang mempunyai Kekuasaan dan Keteguhan" (al-Dhariyat:56-58)


Oleh kerana perbincangannya terlalu menarik kalbu kita, saya teruskan dengan isyarat yang diberikan olehnya; katanya:


"Dan sabda nabi salla'llahu 'alaihi wa salam bermaksud: 'Hamba datang ya Allah, dengan melakukan haji, sebagai amalan ta'abbudi dengan penuh pengabadian serta dengan hati yang lembut mengharapkan rahmat. Dalam perjalanan ke Bayt al-Haram dan lain-lain tanda syiar yang baki lagi itu diberikan (kepada kita) satu gambaran yang melambangkan (perjalanan) ke alam yang lain dan hidup alam akhirat; tujuan memberikan gambaran ini ialah supaya kita berkekalan sentiasa berada dalam zikir (tidak lalai) jauh daripada kelalaian serta tidak cenderungan kepada hidup dunia (dari segi yang sia-sianya, adapun segi yang positifnya ia ladang akhirat dan kenaikan orang mu'min), serta mengambil i'tibar bagi membuat persiapan serta dengan berada dalam siap siaga denga sehabis-habis bersunggung-sungguh, membuat bekalan amalan yang soleh, sebagai pertaruhan bagi hayat yang kekal abadi, penuh kebahagiaan, dalam hidup penuh makmur dengan kesukaan tidak terkira, hidup yang tidak binasa, kekkal abadi sepanjang zaman".


Dalam hubungan dengan persiapan diri untuk pergi menunaikan haji itu, ia menyamakan dengan persiapan hendak menuju ke alam akhirat melalui gerbang maut. Katanya: "(ia tidak ada yang lain padanya) melainkan apa yang dibawanya sebagai bekalan, dan bekas pembawa bekalannya maka ia menyerupai orang yang sedang berpisah daripada dunia ini seorang, tanpa teman, tanpa ahli keluarga dan tanpa harta, tidak ada bekalan dan bekas pembawa bekalan (lain) yang boleh menyenangkan hatinya dalam rasa kesunyiannya itu melainkan apa yang dipertaruhkannya daripada amal soleh; juga apa yang diusahakannya daripada tiap-tiap, usaha-usaha kebajikan dan segi-segi amalan yang baik; dan isyarat misalan daripada ia tidak memakai pakaian berjahit itu ialah seumpama ia memakai pakaian selepas dimandikan bila ia meninggal dunia; pakaian itu juga memberi isyarat ia berpaling daripada kemewahan hidup dan perhiasan (ditanda oleh pentahkik bahawa ini bersesuaian dengan hadith berkenaan dengan orang haji datang dengan keadaan rambut tak terurus, berdebu), (menjadikan orang menunaikan) haji berkeadaan rambut tidak terurus, berdebu, menyerupai orang yang keluar daripada kubur ke medan Mahsyar, dalam keadaan kehairanan tercenggang dalam keadaan penuh mendesak dan bimbang, dengan terasa dahsyat keadaannya, dengan debu berguguran daripada badannya."

Seterusnya dalam hubungan dengan talbiahnya dan seterusnya, katanya: "Talbiah itu ialah ia menjawab seruan Tuhannya yang berlaku seruan itu melalui lidah bapanya (yakni baga agama tauhid) Nabi Ibrahim alaihissalam, (dan dengan talbiah itu) ia mentaati suruhan nabinya - sallallahu 'alaihi wa salam - yang memberi jawapan kepada soalan: Haji yang manakah haji yang sehabis afdhal sekali (yang dilakukan oleh seseorang yang beriman itu)? Jawabnya: "haji dengan suara tinggi (dalam menyuarakan talbiah) dan mengalirnya darah (yakni darah penyembelihan korban)". Dan wuqufnya di Arafah adalah seumpama wuqufnya manusia di medan kiamat dalam keadaan penuh harapan, terlalu amat sangat inginnya, dalam harapan dan rasa resah gelisah, antara mereka itu dalam keadaan orang yang berbahagia atau orang celaka (dijauhkan Allah), orang yang diterima amalannya atau ditolak".

Katanya lagi memberi penerangan tentang isyarat-isyarat yang ada pada amalan haji itu: "Dan terdedahnya mereka kepada panas tengah hari yang amat sangat, dan kepanasan musim panas di Arafah, itu adalah seumpama terdedahnya mereka kepada membakarnya panas matahari, dengan peluh yang keluar mengalir (dalam lautan umat manusia) di padang Mahsyar itu, dan berkunjung keluarnya mereka beramai-ramai dari Arafah itu adalah seumpama berkunjung keluarnya mereka dari Mauqif pada hari kiamat selepas daripada keputusan dan hukum (yang dikenakan oleh Tuhan Rabbul-Jalil terhadap mereka); dan mereka berhenti di Muzdalifah dan Mina itu ialah seumpama berhentinya orang-orang yang berdosa, bagi menanti untuk mendapatkan syafaat mereka yang akan memberi syafaat (dengan keizinan Tuhan), dan mereka melontar jamrah itu adalah perbuatan yang mengingatkan mereka kepada kisah bapa mereka (bapa agama tauhid) Ibrahim alaihissalam, dengan berdepan dengan Syaitan yang direjam oleh Allah, (dan perbuatan rejam dengan batu itu mengingatkan (kita kepada) perbuatan Ibrahim melempar batu kepada syaitan), dan orang yang menunaikan haji dan melempar batu itu menyerupai nabi Ibrahim as (alangkah beruntung mereka ini, amin-pen)"



Popular posts from this blog

Sejarah kaabah dan sekitarnya

HARI NAHAR DAN HARI QARR

TAFSIR IBNU KATHIR BERKAITAN AYAT DALIL SAIE