Mike Tyson VS Nabi Muhammad ﷺ
Mike Tyson VS Nabi Muhammad ﷺ
Dunia gempar hari ini dengan pertarungan tinju antara lagenda tinju dunia Mike Tyson yang sudah berusia 58 tahun menentang Jake Paul yang baru berusia 27 tahun, beza 31 tahun jarak usia.
Pertarungan berakhir dengan kekalahan sang lagenda tua. Bermacam reaksi orang ramai muncul tanpa henti. Ada yang kata pertarungan tak adil, sudah dirancang dan ramai juga yang mengatakan faktor usia menjadi pembeza. Mike Tyson sudah terlalu tua untuk bertinju dengan hebat dan gagah.
Saya tak berminat untuk mengulas tentang pertarungan mereka. Tonton pun tidak. Cuma sebagai pencinta ilmu sirah, saya tertarik dengan ulasan, “Mike Tyson kalah sebab sudah tua.”
Saya tak menafikan usia memang memberi impak terhadap fizikal, fitness dan kekuatan seseorang. Cuma saya nak ajak kita semua memandang dari perspektif berbeza.
Tahu tak apa yang Nabi Muhammad ﷺ sedang buat ketika berusia 58 tahun? Duduk santai-santai? Pencen kerja? Atau healing di luar negara? Berkebun? Tidak!
Ketika usia Nabi Muhammad ﷺ sebaya dengan Mike Tyson yang tumbang hari ini, baginda sedang aktif berperang!
Di usia 57 ke 58 tahun, baginda terlibat dengan perang Khandaq, kemudian terus dengan perang Bani Quraizah. Selepas perang Ahzab inilah baginda menyebutkan bold statement, kata-kata lagenda di hadapan para sahabat;
الآن نغزوهم ولا يغزوننا، نحن نسير إليهم
“Sekarang kita yang akan menyerang mereka, bukan mereka yang menyerang kita. Kita yang akan terus menerus datang kepada mereka!(musuh-musuh Allah)”
Memang selepas itu, Nabi all out perang. Bertukar dari sebelumnya mode defensive (bertahan) kepada attacking (menyerang). Habis je Khandaq terus perang Bani Quraizah. Hampir sebulan baru selesai.
Selepas Quraizah, baginda teruskan pula dengan perang Bani Lihyan yang berada di antara Amaj dan Usfan berhampiran Makkah. Disusuli pula dengan perang Dzu Qard selepas baru beberapa hari sampai ke Madinah dari Usfan.
Selepas itu bergerak jauh ke Muraisi’, perang dengan Bani Mustaliq pula. Selesai dengan Bani Mustaliq, mengetuai pula 1500 orang ke Umrah Hudaibiyyah.
Tak cukup dengan itu, beberapa misi ketenteraan turut baginda hantar seperti pasukan Ukhashah bin Mihsan ke al-Ghamr, pasukan Abu Ubaidah ke Zu al-Qassah, pasukan Zaid bin Harithah ke al-Jamum dan sebagainya. Tak henti-henti berjuang!
Dan ia berterusan sampailah perang Khaibar, Wadi Qura, Mu’tah hingga ke Fathul Makkah. Sampai baginda nak wafat pun berterusan “menyerang” dan berjuang. Betul-betul fighter.
Semua ini terjadi di usia Nabi 58 menuju ke 63 tahun. Usia Mike Tyson hari ini. Usia orang normal macam kita berehat dan makan pencen dan santai di rumah.
Hebat dan kuatnya Nabi kita, Muhammad ﷺ. Bahkan Abu Bakar dan Uthman juga ketika itu dalam usia 50 an. Bukan 30 an bukan 40 an. Kita umur 30-40 dah sakit badan, tak daya buat aktiviti berat dan kurang aktif. Nabi pula sebaliknya.
Yang lebih mengagumkan untuk kita kaji dan ambil pelajaran ialah bagaimana di usia 58-60 an, baginda dan para sahabat masih ada kekuatan untuk berperang, bertempur dan buat perkara ekstrem? Cuba anda kaji dengan teliti. Anda akan menemukan banyak hal yang mengagumkan dan membuatkan kita malu sendiri.
Kita mungkin tak mampu nak ikut sama macam Nabi dan para sahabat. Tapi setidaknya mereka dah tunjuk dan buktikan yang age really is just a number.
Menurut saya itulah tujuan utama ilmu sirah. Bukan sekadar tahu narasi dan kisahnya tapi untuk tadabbur dan ambil pelajaran apa yang kita boleh praktikkan dalam kehidupan terutama di zaman moden yang semakin jauh dengan cara hidup generasi terbaik Islam.
Sallallahu ‘alaihi wasallam.
📝 Addien Abdul Kadir
Comments
Post a Comment