Bayan Li al-HAJ

Bayan Li al-Haj adalah siaran bermakalah secara bersiri sebagai jawapan permasalahan-permasalahan JEMAAH HAJI (JH) bagi musim 1430H / 2009 yang lalu. Jawapan kepada permasalahan-permasalahan tersebut dibincangkan oleh Ahli Jawatankuasa Pakar Rujuk Tabung Haji-JAKIM yang bertugas di Tanah Suci Makkah iaitu Datuk Haji Hassan Ahmad, Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri dan Datin Dr. Zulaikhah Md Nor. Kemudian dibawa dan dibentang dalam Mesyuarat Bimbingan Agama di Tanah Suci 1430H, dan seterusnya menjadi rujukan ibadah JH. Selamat membaca dan diharap menambah faham 'manasik haji'.

SIRI 1: MENUKAR NIAT HAJI KEPADA IBADAT UMRAH
(Soalan asal: Ibadat haji merupakan kemuncak daripada rukun Islam yang lima. Dengan berniat melakukannya di miqat makani dan dalam miqat zamani, maka terhasillah niat haji seperti niat ifrad. Persoalannya bolehkan ditukar niat haji ifrad kepada umrah kerana hari wuquf masih lama lagi).

Jawapan:

Dikemukakan di sini beberapa nokhtah:

Pertama: Niat seperti kata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin 1/224 ialah qasad atau tujuan ia dihadirkan dalam hati dan sunat berlafaz dalam menunaikan ibadat haji atau umrah kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Kedua: Imam al-Nawawi dalam al-Idhah hal 152-157 berkata: Niat ihram iaitu sama ada dengan ifrad, qiran, tamattu' atau mutlak. Berkenaan dengan niat haji ifrad semata-mata haji sahaja tanpa umrah. Selesai haji, barulah dilakukan umrah.

Ketiga: Menukarkan niat haji kepada umrah, mengikut jumhur ahli ilmu, juga mazhab Syafie, Maliki, dan Hanafi hukumnya tidak harus, bahkan dihukum haram. Ini kerana keharusannya telah dimansuhkan, khususnya kepada sahabat Rasulullah s.a.w. sahaja dan hadith-hadith berkaitan fasakh haji kepada umrah adalah bertentangan dan khilaf. Atas alasan ini kami berpendapat inilah qaul yang rajih dan kuat yang perlu diikuti. Lihat al-Mughni hal 107-109.

Keempat: Saranan dan nasihat. Dalam isu seperti ini sayugia yang melakukan niat haji ifrad meneruskan ibadat haji dengan penuh ketaqwaan kepada Allah. Yakin dan percaya bahawa ganjaran Allah amat besar kepada yang sentiasa dalam ibadat di samping menghadapi banyak ujian dan cabarannya seperti dalam kaedah banyaknya masyaqqah membawa kepada banyaknya pahala.

Penutup:
Semoga Allah tambahkan azam dan tekad kita dalam menunaikan ibadat haji yang dianggap Rasulullah s.a.w. sebagai jihad bagi golongan yang lemah dan wanita. Harapan kami semoga kemabruran haji itu menjadi milik kita semua dengan memelihara adab-adab haji. Amin.


SIRI 2: SOLAT MENGHORMATI WAKTU


Mukadimah: Dalam musafir, khususnya menuju ke Baitullah al-Haram, menaiki kapal terbang mengambil masa antara 7 hingga 8 jam. Kadang-kadang membabitkan waktu solat. Saat yang sama mungkin merasa kesukaran untuk berwudu' atau menentukan arah tanda kiblat. Justeru itu, ada atau tidak solat menghormati waktu?


Jawapan:-


Pertama: Solat adalah salah satu rukun Islam yang utama, disebut dalam banyak hadith gelaran atau nama yang baik kepada solat seperti tiang seri agama, cahaya dan lain-lain. Islam amat cakna dan perihatin terhadap solat supaya dipeliharakannya dalam apa jua keadaan. Saat yang sama ancaman amat keras bagi sesiapa yang meninggalkan solat dan mengabaikannya atau melakukan sambil lewa. Justeru, atas dasar inilah melaksanakan ibadat solat perlu walau dalam apa keadaan sekalipun. Dalam mazhab syafie terdapat solat menghormati waktu antaranya kerana:


i. Orang yang luput 2 alat taharah iaitu air dan tanah. Dalam al-Fiqh a'la Mazahib al-Arba'ah 1/167 wajib ia'dah (mengulangi) solat bagi yang melakukan dalam keadaan menghormati waktu setelah dapati air.


ii. Tersalah mengadap kiblat ketika mengijtihad mengadap kiblat tanpa arah yang betul, hendalah ia'dah (mengulangi) solat. Begitu juga yakin tersilap kiblat secara pasti maka wajib ia'dah (mengulangi) 1/201. Imam al-Nawawi dalam al-Idhah hal 80 menyebut hal yang sama.


Kedua: Cadangan dan nasihat:


Beberapa cadangan kepada yang menaiki pesawat:


i. Afdhalnya sebelum menaiki pesawat dalam keadaan berwudu' dan bertanya kepada paramugara / anak kapal mengenai arah kiblat.


ii. Jika boleh dilakukan solat dengan sempurna seperti berdiri, ruku' dan sujud hendaklah dilakukannya. Sebaliknya jika tidak, buatlah sekadar yang mampu mengikut hadith sahih riwayat al-Bukhari daripada Imran bin Husain RA. Sekiranya boleh jama' ta'khir di Jeddah / Madinah hendaklah melakukannya tanpa sembahyang di dalam pesawat secara menghotmati waktu.


Penutup: Solat menjadi pembeza antara Islam dan kufur. Oleh itu perlu dipelihara kerana ia sebagai siimah (tanda dan alamat mukmin sejati). Semoga kita menjadi golongan yang mendapat kejayaan kerana memelihara solat dengan khusyu' seterusnya mendapat haji mabrur. Amin.

SIRI 3: HIKMAH DAN FALSAFAH HAJI BAGI FAEDAH SYAKHSIAH (PERIBADI)

Mukadimah: Dalam musafir khususnya menuju ke Baitullah al-Haram, sebagai menyahut panggilan ilahi sudah pasti banyak faedah, hikmah dan falsafah di sebalik pengsyariatan ibadat haji. Apakah dia faedah untuk seseorang dalam menunaikan ibadat tersebut.

Jawapan:

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya:

1. Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama' Hanafi berkata termasuk dosa besar. 
2. Menghapuskan jiwa daripada maksiat.
3. Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.
4. Menambahkan lagi ma'nawiyat ihsan.
5. Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
6. Mengukuhkan lagi husnul al-zan dengan Allah.
7. Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
8. Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah.
9. Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
10. Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
11. Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.
12. Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
13. Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
14. Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
15. Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.
16. Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya: Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal dan lain-lain.
17. Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.

Penutup:

Sebenarnya manfaat haji serta faedahnya bagi seseorang yang menunaikannya dengan segala adab tanpa dicemari dengan perdebatan, percakapan yang kasar dusta dan perbuatan fasik insya-Allah, akan membuahkan hasil untuk mendapat haji yang mabrur seterusnya membawa semangat kehidupan yang baru. 

Popular posts from this blog

Sejarah kaabah dan sekitarnya

HARI NAHAR DAN HARI QARR

TAFSIR IBNU KATHIR BERKAITAN AYAT DALIL SAIE