BERPUASA BULAN MUHARRAM
Antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharram adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa Asyura’. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA:
[أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ]
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.”
✨ Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Antara kelebihan berpuasa di hari asyura’ ialah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Abu Qatadah RA:
[يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ]
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.”
✨ Hadis Riwayat Muslim
Akan tetapi pada hari tersebut, orang-orang yahudi juga berpuasa kerana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada musuh mereka. Lalu Nabi SAW memerintahkan umat Islam agar melaksanakan puasa Tasu’a’ yang bermaksud hari yang ke 9 Muharram. Hal ini dirakamkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah SAW:
[لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ]
Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.”
✨ Hadis Riwayat Muslim
Daripada hadis di atas, ulama menyimpulkan bahawa sunat berpuasa pada hari yang ke 9 dan 11 Muharram bertujuan mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain 💕
Pun begitu terdapat 3 lagi puasa sunat yang boleh diamalkan setiap bulan termasuklah bulan Muharram ini iaitu puasa Hari Putih. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.”
✨ Hadis Riwayat at-Tirmizi
Kesimpulannya terdapat 6 hari puasa bulan Muharram yang boleh kita amalkan di bulan yang mulia ini. Semoga amalan kita diterima Allah SWT dan mendapat keberkatan dari-Nya 🤲
#PerkongsianAwalMuharram
#MuharramBulanMulia
#PusatIslamUKM
Comments
Post a Comment