Kejadian Ribut dan Hujan Pada Malam 9 Zulhijjah

Kejadian ribut dan hujan yang berlaku pada malam 9 Zulhijjah 1439H di Arafah, barangkali ia sebagai satu pengalaman yang menakutkan dan tidak akan dilupakan oleh setiap jemaah haji. Apa tidaknya, khemah yang dibina kukuh dengan kanvas yang berkualiti tinggi seakan mahu dicabut dan diterbangkan, sedangkan jemaah haji sedang berada di dalamnya. Masing-masing mulut berkumat-kamit membaca ayat al-Quran dan berdoa agar diberi perlindungan dari sebarang bahaya dan malapetaka. Sesekali ada juga azan dilaungkan dengan satu matlamat yang sama juga.

Apapun, berdasarkan pengalaman yang ada, tidak dinafikan kerap juga suasana ini berlaku iaitu sebelum tiba phari wuquf di Arafah. Cuma tarikh dan waktunya tidak konsisten. Biasanya, suasana ini akan berlaku antara 7 hingga pada malam 9 Zulhijjah. Dan pada siang hari 9 Zulhijjah, kebiasaannya komponen cuacanya sempurna: Ada panas. Ada teriknya. Dan ada angin. Malah sesekali terasa angin sepoi bahasa bertiup menyapa pipi seakan membelai setiap jemaah haji.

Menyentuh pengalaman yang saya lalui, tarikh 8 Zulhijjah 1430H adalah sukar untuk dilupai. Pada siang hari, sebahagian jemaah haji sudah sampai di Arafah. Masing-masing sudah mengambil tempat di dalam khemah yang materialnya hanya kain tebal dan mampu untuk berteduh dari keterikan panas matahari.

Selepas solat zohor, mula terasa angin bertiup agak kencang. Langit berawan gelap. Hitam pekat. Suasana bertambah cemas apabila zink-zink yang dipasang mulai roboh. Pasir-pasir mulai berterbangan. Wajah jemaah haji yang berada dalam khemah kelihatan cemas. Kain-kain dinding khemah mulai tercabut dari ikatan pada kayu yang dipancang di tanah. Sebahagian jemaah cuba menghalang kain dinding dari terbang dan sebagainya. Atap khemah yang dipukul angin seakan ombak laut.

Suasana cemas itu, makin dirasai. Hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sedikit demi sedikit air hujan mulai membasahi seluruh bumbung khemah. Dan menerjah membasahi  seluruh karpet termasuk beg-beg jemaah.  Jemaah haji macamana keadaan mereka? Bermandi hujan di Arafah. Sekaligus mencatat sejarah bermandi hujan di Arafah.  Allahuakhbar! Cuba bayangkan suasana dan keadaan Arafah, khemah dan jemaah apabila dicurahkan dengan air hujan tanpa henti selama dua jam!

Seusai hujan, apa yang boleh dilakukan? Khemah basah, pakaian ihram yang membaluti tubuh juga basah sebasahnya. Beg-beg pakaian yang boleh diisi dengan kemampatan lima kilogram juga basah. Ada juga yang membuka beg masing masing. Mana tau ada yang masih kering. Bila dibuka, masing-masing menunjukkan muka yang kelat.

Lebih dari itu, nak duduk di mana? Karpet berwarna merah juga basah. Tanah yang bercampur pasir juga basah. Berdiri dan berjalanlah jemaah sekitar kawasan perkhemahan tersebut.

Menjelang maghrib, suasana bergelap mulai dirasai. Cahaya lampu tidak muncul. Para petugas maktab tengah sibuk menguruskan pelbagai kerja. Ada yang membetulkan khemah yang runtuh. Ada yang sibuk menyediakan makanan dan minuman. Ada yang sibuk membaiki aliran elektrik dan sebagainya. Dalam waktu yang sama kewajiban pada Allah Taala tetap ditunaikan. Talbiah dan zikrullah dialunkan membasahi bibir masing-masing.

Dalam pada itu, jemaah haji yang terhalang pergerakan masuk ke Arafah, mulai sampai ke kawasan perkhemahan di Arafah. Pengurusan Gemilang Travel pula menghantar pelbagai bantuan. Makanan dan minuman dan beberapa gulung tikar plastik dijadikan alas sebagai pengganti karpet yang basah.

Akhirnya menjelang tengah malam, elektrik dapat dipulihkan. Jemaah yang semakin kelesuan mulai mengantuk dan mula merebahkan badan masing-masing. Ada yang mampu melelapkan mata dan ada yang sekadar berbaring melepaskan kepenatan yang ada.

Menjelang subuh, semua jemaah mulai mengambil saf masing-masing. Alunan tarbiah dan zikir dilakukan secara bersama. Makin lama semakin menusuk pada jiwa. Pada saad ini, para jemaah mulai mengenal diri. Dan memahami tentang sifat-sifat hamba. Tanpa disedari ada yang mengalirkan air mata walaupun belum lagi menjelang waktu wuquf, selepas pelincir matahari 9 Zulhijjah.

Sebelum menjelang wuquf, berita kedahsyatan ribut dan hujan lebat yang melanda Arafah semalam, turut melanda seluruh Makkah dan beberapa kawasan lain termasuk Jeddah. Dilaporkan beberapa laluan masuk ke Muzdalifah yang menjadi kawasan bermabit sedang ditenggelami air.  Lebih memeranjatkan, apabila dilaporkan seramai 80 orang terkorban di Jeddah apabila bandar kedua terbesar Saudia turut dilanda banjir.

Apapun, perjuangan dan jihad jemaah haji untuk melaksanakan fardhu haji tetap diteruskan. Alhamdulilah, jemaah haji berjaya melaksanakannya dengan sempurna. Semoga peroleh haji yang mabrur. - uhmas

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah kaabah dan sekitarnya

TAFSIR IBNU KATHIR BERKAITAN AYAT DALIL SAIE

HARI NAHAR DAN HARI QARR