SUARA MUAZIN DAN PEMBACA TALBIYAH DI PADANG MAHSYAR

Kelebihan orang yang mengerjakan haji dan umrah memang digambarkan cukup luar biasa. Bukan sahaja dosanya diampunkan oleh Allah Taala. Bahkan pelbagai ganjaran pahala dan keistimewaan dikurniakan.

Berdasarkan beberapa hadis memberi gambaran bahawa orang yang sedang berihram kemudian meninggal dunia telah diberi layanan istimewa bermula saat kematian lagi.

Seorang lelaki yang berihram dengan Rasulullah s.a.w. tiba tiba dibanting dari atas untanya, lalu mati. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, "Mandikan dia dengan air dan daun bidara, kemudian kapankan dengan bajunya. Jangan diletakkan wangian dan jangan ditutup kepalanya, kerana dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan membaca talbiyah -mulabbiyan-" ( HR. Al-Muslim daripada Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain, "Dalam keadaan merendah diri kepada Allah s.w.t. (mulabiddan)." HR. Al-Bukhari daripada Ibnu Abbas).

Dalam hadis yang lain, secara umum diberitahu oleh Baginda s.a.w., suara Muazin dan pembaca talbiyah akan berkumandang ketika dibangunkan dari kuburnya dan seterusnya diarak menuju ke Padang Mahsyar.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Orang yang sedang azan dan orang yang sedang membaca talbiyah akan keluar dari kuburnya dalam keadaan azan dan membaca talbiyah." HR. Ibad bin Kathir daripada Jabir)
Diriwayatkan daripada Ibad bin Kathir, daripada Abu Zubair, daripada Jabir a.s. dia berkata, "Muazin dan pembaca talbiyah pada Hari Kiamat keluar dalam keadaan azan dan membaca talbiyah. Orang pertama sekali memakai pakaian dari syurga adalah Nabi Ibrahim a.s. , kemudian Nabi Muhammad s.a.w., kemudian para Nabi dan Rasul, setelah itu Muazin dan yang membaca talbiyah. Muazin dan yang membawa talbiyah akan didatangi oleh malaikat di atas singgahsana yang diperbuat daripada cahaya berwarna merah dan tali pinggang mereka daripada zamrud hijau dan memakai baju daripada emas. Mereka diiringi (dari kubur mereka) menuju ke Padang Mahsyar oleh 70,000 malaikat." (Hadis ini ada dalam Minhaj Ad-Din oleh Al-Hulaimi).

Justeru beruntung kepada mereka ketika berada di atas dunia dengan menjadikan kehidupan mereka melaungkan azan. Dan mereka yang menyahut seruan mengerjakan haji dan umrah lalu bertalbiyah secara ikhlas kerana Allah Taala.

Oleh: UHMAS

Rujukan:
Kitab karangan Imam Al-Qurtubi: Kitab Rahsia Kematian dan Alam Akhirat dan Kiamat.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah kaabah dan sekitarnya

TAFSIR IBNU KATHIR BERKAITAN AYAT DALIL SAIE

HARI NAHAR DAN HARI QARR